Thursday, April 24, 2008

ANALISIS IMPAK PENDEKATAN EKSTREMISME DALAM DAKWAH
Oleh: Bintu Ismail

1.0 PENDAHULUAN

Pasca 11 September dan serangan yang telah berlaku di beberapa tempat seperti di Bali, Madrid, Jakarta, Casabalanca, London menyebabkan Islam terus ditohmoh dan menjadi sasaran utama polis dunia (AS) dan melabelkan Islam dengan pelbagai nama seperti Islam ekstrim, Islam Radikal, fundamentalis Islam, Islam militan dan sebagainya,
Analisis AS Amos Perlmutter(1992)dalam Wishful Thinking About Islamic Fundamentalisme mengatakan Islam sebuah gerakan yang agresif sama militan dan kejamnya dengan gerakan Nazi, Bolshevik pada masa lalu.Oleh itu Amerika perlulah melumpuhkan semua gerakan kebangkitan Islam yang lahir. (Kusman Sadik 2006: 52)
Fahaman ekstrim telah pun dikenalpasti mempunyai hubungan dengan gerakan-gerakan Islam yang telah muncul (Emad al-Din Shahin 2005: 93)seperti Hizbullah,HAMAS,Jamaah Islamiyah, Taliban, Ikhwan al-Muslimin dan sebagainya.

Gambaran yang salah tentang pergerakan Islam bertujuan untuk memainkan peranan melalui penekanan dan fokus mereka kepada puak-puak ekstrim dan juga melalui paparan mereka sebagai contoh untuk semua pergerakan Islam.Gambaran salah ini juga berlaku melalui tanggapan terhadap puak pertengahan pergerakan Islam sebagai parti pembangkang politik yang objektifnya untuk memperoleh kuasa dan memusnahkan dua pengaruh iaitu yang memerintah rejim dan pengaruh barat dalam negara. (Emad al-Din Shahin 2005: 93)Dalam kertas kerja ini,penulis akan mengupas dan menghuraikan fahaman ekstim adakah ia dibenarkan oleh Islam atau sebaliknya, faktor-faktor berlakunya ektrim, isu-isu yang berkaitan dan adakah ia memberi impak yang positf atau negatif dalam pendekatan dakwah kepada masyarakat sesebuah negara .


2.0 DEFINASI EKSTREMISME

Menurut Kamus Dewan ekstremisme bermaksud fahaman yang sangat radikal , melampaui batas dalam sesuatu hal seperti politik dan sebagainya.(Dr. Tengku Iskandar 1970) ekstemist adalah orang yang mempunyai pandangan yang keterlaluan terutama sekali dalam politik(Hornby 2000).Ghuluw pula dalam bahasa arab bererti melampaui had sempadan yang dibenarkan.Istilah lain bermaksud sama dengannya adalah Ifrad, al-Tafrit, al-Tasydid, al-Tanatu’ Ini dijelaskan bahawa Ghuluw bermaksud melampaui had dan dan terkeluar dari sempadan yang ditetapkan(Ibnu Manzur) Tatharruf diniy iaitu melampaui batas dalam agama, fikiran atau kelakuan. Gerakan eksrem yang bersifat keagamaan ini sering dikaitkan dengan sifat yang agresif, kuat perjuangan, berkelahi, bertempur atau berperang terutamanya untuk memperlihatkan pengabdian mereka secara keseluruhannya terhadap sesuatu cita-cita. Mereka dilabelkan secara perseorangan, kelompok, atau perbuatan sebagai ekstrim terutamanya untuk mengubah status quo.

Eksremisme selalunya dikaitkan dengan fundamentalis, radikal, militan. Penonjolan mereka jelas mempengaruhi aktiviti yang dilakukan dalam sesuatu masyarakat. Segala aktiviti yang dilakukan itu menimbulkan ketegangan dalam kehidupan masyarakat.(Zainuddin Fananie et al 2002: 13-14)Menurut Ensiklopedia Global Eksrimisme adalah suatu fahaman yang mengancam corak, tindakan dan sokongan proses demokrasi. Faktor agama, bangsa dan ketegangan berlaku di dalam persatuan menghasilkan fahaman ini. (2001:2)Yusuf al-Qardawi telah mengtakrifkan ekstremisme ialah mengambil suatu langkah secara melulu, terburu-buru dan melampaui batas serta mendadak yang mana semuanya adalah terang-terangan bertentangan dengan ajaran-ajaran Islam. Ia juga membawa maksud pembawaan mereka yang membuat sesuatu kerana mengejar nama atau supaya kepentingan dirinya tidak terluput dengan sebab ditakuti ketibaan ajalnya dengan mengejut atau terjadi sesuatu perkara yang di luar dugaan.

Definasi ektrimisme boleh dirumuskan bahawa suatu fahaman individu, kelompok, gerakan yang melampaui batas pada sesuatu yang telah ditetapkan tanpa had sempadannya. Ia menunjukkan sikap golongan tertentu yang keterlaluan dalam mengamalkan sesuatu perkara atau tuntutan samada politik, agama, amalan, sosial, ekonomi dan lain-lain.Fahaman ini telah wujud pada semua agama, namun ia lebih dikaitkan dengan Islam

3.0 PANDANGAN ISLAM MENGENAI EKSTREM

Menurut undang-undang sharak Islam, fahaman ekstrem berkait dengan perkara-perkara yang ditambah dalam agama, fahaman-fahaman fanatik dan radikal, iaitu meningkat ke satu kedudukan di luar jangkauan manusia. Semua aspek ini adalah dilarang keras dalam Islam. Islam juga melarang fahaman ekstrem dalam agama dan kekerasan melampau sama ada pada diri sendiri mahupun orang lain. Firman Allah bermaksud : ”Janganlah kamu melampaui batas dalam perkara agama kamu” (al-Nisa 4: 171) dan sabda Rasulullah s.a.w bermaksud : ” berhati-hatilah terhadap fahaman ekstrem dalam agama, kepada manusia sebelum kamu dimusnahkan oleh mereka yang ekstrem dalam agama”. ”Dan janganlah kamu terlalu tegas dengan dirimu sendiri”. Fahaman Radikal dan Ekstrem mempunyai kaitan ke arah memusnahkan sesuatu. Maksud kemusnahan ialah keputusan daripada puak ekstrem terhadap perkara yang tidak dapat dielakkan dan kekerasan yang tidak wajar.(Emad al-Din Shahin 2005: 96)

Apabila dilihat dalam Islam, Allah SWT telah memberi rukhsah kepada hamba-hambanya supaya mereka dapat melakukan ibadah dengan mudah dalam keadaan tertentu misalnya dibolehkan memendekkan solat ketika bermusafir.Ini menunjukkan bahawa Islam tidak memeberatkan kepada umatNya. Sabda Rasulullah saw :
يسروا ولا تعسروا وبشروا ولا تنفروا
Maksudnya: “Mudahkanlah dan jangan kamu memayahkan, gembirakanlah dan jangan kamu meliarkan”.Namun begitu boleh juga diterima sikap seseorang yang memberatkan dirinya sendiri dalam soal-soal agama dengan hanya mengamalkan fardhu pada asalnya tanpa mengamalkan kelonggaran-kelonggaran yang dibenarkan (rukhsah) asalkan tidak memaksa orang ramai mengikutinya, tanpa menghiraukan bahawa tindakannya itu mendatangkan kesukaran kepada mereka dalam soal-soal agama dan duniawi mereka. Sedangkan sifat yang menjadi amalan baginda Saw menghalalkan benda-benda yang baik dan mengharamkan benda-benda yang tidak baik dan meringankan beban-beban dan merungkai belenggu yang dahulunya mengikat mereka. Rasul pernah bersabda: Aku berpuasa tetapi berbuka, tidur dan berjaga, makan daging dan berkahwin. (Yusuf al-Qardhawi 2002:6)Islam adalah agama yang sederhana yang menyeru ke arah penerapan sederhana dalam semua perkara dalam pengabdian yang mengawal hubungan antara manusia dengan Tuhan dalam mengawal hubungan manusia dengan manusia dan dalam perundangan yang mengawal hubungan masyarakat. Cara sederhana ini membezakan antara satu negara Islam dengan satu negara Islam yang lain. Firman Allah bermaksud : ” Kami telah memimpin kamu wahai umat Muhammad satu umat pilihan lagi adil, supaya kamu layak menjadi orang-orang yang memberi keterangan kepada umat manusia” (al-Baqarah 2 : 143.)

4.0 FAKTOR-FAKTOR MENYEBABKAN LAHIRNYA EKSTREMIS

Banyak faktor yang menyebabkan munculnya sikap ekstremis ini samada bersifat keagamaan, politik, ekonomi, sosial, gabungan semuanya atau sebahagiannya. Antara faktor-faktornya ialah:

i.Faktonya adalah disebabkan kurangnya ilmu pengetahuan, lemah pemikirannya terhadap agama, sejarah, hukuman kehidupan, mengutamakan masalah sampingan dan melupakan masalah pokok, berlebihan dalam mengharamkankan sesuatu dan sebagainya menyebabkan seseorang akan terdedah dengan kesalahan, mudah terpelesong dari landasan sebenar. Ini menimbulkan kesan buruk kepada diri dan masyarakat dan muncullah fahaman rosak , berpegang pada sebahagian syariat, menyimpulkan makna yang tidak tepat, mudah tertipu dengan pemikiran yang salah, selalu mentafsirkan dengan pemikiran yang keliru(Yusuf al-Qardhawi 2002)

ii.Menurut hawa nafsu, tidak mahu menerima pendapat orang lain adalah faktor ekstrim kerana boleh membawa seseorang melakukan sesuatu yang ditegah oleh agama. Mereka meletakkannya di atas segala-galanya. Pada kebiasaannya mereka meletakkan keinginan mereka lebih tinggi daripada syarak. (Dr Johari Mat 1996) Allah SWT telah menerangkan bahaya nafsu dalam firmanNya yang bermaksud: Tetapi orang-orang yang zalim mengikut hawa nafsu mereka tanpa pengetahuan maka siapakah yang akan menunjuki orang yang disesatkan oleh Allah? tidak ada bagi mereka sesiapa yang dapat menolong melepaskan mereka dari azab.(al-Quran,al-Rum :29)

iii.Mengikut nas-nas yang tidak jelas dalam menetapkan pelbagai pengertian seterusnya membuat kesimpulan pada masalah tersebut yang membawa padah ada diri mereka sendiri sedangkan nas-nas yang jelas ditinggalkan. (Yusuf al-Qardhawi 2002)

iv. Islam itu asing di negara orang Islam sendiri kerana masyarakat tidak mengamalkan ajaran Islam sedangkan kemungkaran bermaharajalela, sekularisme menular dalam kehidupan masyarakat, kristian giat dalam usaha mengkristian umat Islam, media menonjolkan gambar lucah yang menghairahkan, wanita mendedahkan aurat, arak, kelab malam tersebar di sana sini tanpa ada sekatan, pemimpin mengikut telunjuk barat dan tidak mengamalkan Islam di samping itu menghalang seruan yang berbau Islam. Pemerintah bertindak zalim kepada mereka yang menyeru kepada kebaikan. (Yusuf al-Qardhawi 2002,Zainuddin Fananie et al 2002: 14)

v.Tekanan, kezaliman (Dr Johari Mat 1996: 94)dan serangan yang ditujukan pada Islam samada peperangan secara tersembunyi atau terang-terangan seperti sekularisme, zionisme, salibisme, komunisme dan sebagainya yang bersatu dalam menghancurkan Islam apabila mereka melihat dakwah Islam mulai berkembang. Umat Islam memprotes terhadap keditaktoran musuh Islam, penginayaan dan penghinaan terhadap Islam namun tiada tindakan daripada pemerintah dalam menyelesaikan masalah tersebut. (Zainuddin Fananie et al 2002: 14, Rauben Azizian, Elizabeth 2006:149-150, Ahmad Rashid 2002) Bertepatan dengan pendapat Profesor Wael Hallaq dalam syarahannya pada seminar yang bertajuk Islamic Law, Terorrism and Current International Political Turmoil pada 17 Ogos 2004 di Kanada. Beliau berkata:“What is happening today is a product of conolialism which started 200 years ago, until it cause the muslim community to fell oppressed in all aspect of life, and what happening in Iraq,is a reflection of real situation of colonolism, which give rise to a lot of dissatisfaction toward the oppressors” (Abdul Rahman Mohammed t.th:123)

Kuffar menjadikan umat Islam sebagai kuda tunggangan yang boleh diperlakukan mengikut kehendak mereka (Yusuf al-Qardhawi 2002:68) dan timbulnya kesedaran untuk menjalankan apa yang mereka fahami agar ajaran Islam dapat diamalkan dalam hidup serta semangat pembelaan Islam yang kuat .(Zainuddin Fananie et al 2002: 35))


5.0 ISU EKSREMISME

Dalam isu ini penulis membatas beberapa isu besar untuk di koreksi. Ekstremisme telah
berlaku dalam beberapa bentuk antaranya ialah

1.Ekstrem dalam sesuatu amalan seperti isu di bawah iaitu:

Isu sunnah nabi

Apabila seseorang muslim cuba mengamalkan sunnah dalam kehidupannya secara sukarela iaitu memberatkan dirinya dan berpegang kepada pendapat fiqh menurutnya adalah lebih diberkati dan diredhoi Allah SWT contohnya dengan menyimpan janggut, memakai serban, makan dan minum cara nabi, berjubah, tidak bersalam dengan wanita mahram dan bagi wanita muda dan tua pula mengikut pakaian ummahat al-mukminin dengan memakai purdah dan lain-lain. Masyarakat menganggap amalan yang dilakukan itu suatu yang tidak menepati keadaan semasa. Ramai orang yang berfikiran barat menganggap mereka yang berpegang teguh dengan agama sebagai ekstrimis dan keterlaluan. (Yusuf al-Qardhawi 2002: 10-11)Sedangkan mereka hanya mengajak tanpa memaksa masyarakat mengikuti cara mereka.



2.0 Radikal melalui idea dan pemikiran

Radikal melalui idea dan pemikiran seseorang adalah satu cara tersebarnya sikap ekstrim iaitu isunya berkaitan:

Isu Takfir

Isu ini berpunca semasa zaman Saidina Ali iaitu golongan Khawarij yang kuat beribadah tetapi terjerumus dengan pemikiran yang rosak (Yusuf al-Qardhawi 2002:26)dengan mengkafirkan para sahabat kerana tidak berhukum dengan perintah Allah SWT.Mereka telah memesong dari landasan yang sebenar dan membantah Saidina Ali sebagai khalifah serta menganggap semua yang tidak menganut fahaman mereka adalah kafir (Syed Hussin al-Attas:101,Mohd Shauki Abd Majid: 27) selepas itu wujud pula Jamacat Takfir wa al-Hijrah di Mesir. Mereka mengkafirkan setiap orang yang melakukan maksiat dan tidak segera bertaubat, mereka mengkafirkan ulama yang tidak mengkafir pemimpin dan rakyat yang dikuasainya.(Abdul Rahman Hj Abdullah 1998:342)sehingga al-Shahid Hasan al-Banna juga dianggap seleweng kerana tidak sependapat dengan mereka. Perbuatan tersebut menggambarkan sikap eksremis dalam pemahaman agama.(Mohd Shauki Abd Majid:28) Ini merupakan perkara yang merbahaya kerana ia melibatkan nyawa dan harta (Yusuf al-Qardhawi 2002:27)

3.0Radikal melalui tindakan

Melalui isu-isu ini, Islam telah dikatakan sebagai pengganas, teroris global atau ekstrimis keganasan.Walau bagaimanapun tidak dinafikan berlakunya ekstrimis keganasan ini ada hubung kaitnya dengan pemikiran seseorang, kelompok dan sesuatu gerakan Islam.Isunya adalah berkaitan:

3.1 Isu WTC

Apabila berlakunya pengeboman World Trade Centre(WTC) New York-Amerika. Amerika terus menuduh Usamah b Laden sebagai dalang dalam pengeboman tersebut. (Zainuddin Fananie et al 2002:22)Pelbagai serangan yang dilakukan di Afghanistan kononnya menjadi tempat persembunyian Usamah(Shahrom TM Sulaiman 2002:112) Beliau menjadi buruan utama mereka dengan nilai USD5 bilion sekiranya sesiapa yang dapat menumpaskannya.(Luis s.r.v 2001:11)

Seluruh ulama dan pimpinan Islam di serata dunia mengecam perbuatan pengeboman ini kerana ia bertentangan dengan ajaran Islam dan merosakkan imej Islam antaranya adalah Yasir Arafat, Hosni Mubarak. Ulama yang membantah keras perbuatan itu ialah Yusuf al-Qardhawi, beliau telah berkata bahawa haram membunuh sesama manusia yang tidak memerangi dan mengusir umat Islam. Peperangan tidak membenarkan manusia bertindak sewenang-wenangnya.Ada juga dikalangan bangsa Barat yang mengkritik AS berkaitan Tragedi ini iaitu David Long,beliau merupakan ahli di pejabat Pertahanan AS dan menyarankan agar pemerintah AS memperbaiki hubungannya dengan pemerintah Arab terutamanya berkaitan kelompok Usamah(Panji 26 September 2001)

3.2.Isu Amaliyah Istisyhadiah

Amaliyah Istisyhadiah atau dikenali bom berani mati. Ia adalah salah satu kaedah yang digunakan untuk melakukan penentangan terhadap Zionis. Itulah yang mampu dilakukan oleh rakyat Palestin dengan mencipta bahan letupan sebagai senjata untuk melawan musuh dengan terpaksa mengorbankan diri. Satu nyawa dikorbankan untuk membunuh sejumlah besar kuffar. Ia dilakukan dengan niat untuk membunuh musuh-musuh Islam yang menduduki tempat mereka dan tujuannya untuk mendapatkan syahid(Ibnu Ismail 2002: 53-56)Ia dilakukan pada Intifadah kedua yang dipelopori oleh pejuang HAMAS. Gerakan ini menjadi kuat disebabkan oleh asas keagamaan dan ditegakkan atas prinsip keagamaan.(Mark Juegensmeyer 2003:115)

Dalam perkara ini kebanyakan ulama mengharuskankan operasi ini diantaranya ialah Prof Dr Wahbah Zuhaili, Dr Muhammad Said Ramadhan al-Buthi, Syekih al-Azhar Syed Tantawi, Dr Fathi Yakan, Syeikh Mutawali Syacrawi, Dr Yusuf al-Qardawi, Imam al-Ghazali, Ibnu Taimiyah,(Ibnu Ismail 2002: 58) al-Qurtubi (Hafidz Abdurrahman: 2006:42) Kerana penyerangan itu untuk mempertahankan diri, menentang kuffar yang merampas negara mereka dan melakukan penindasan terhadap rakyat yang tidak berdosa. Umat Islam melakukan perkara tersebut agar dapat menggerunkan musuh bukannya untuk mati tetapi memberi kemenangan pada Islam dan mempertahankan tanah mereka dari terus dijajah. Pendapat Ulama semestinya berbeza dengan pandangan musuh Islam. Bagi pihak Barat, mereka mengatakan operasi berani mati ini seperti aksi-aksi tentera Jepun(kamikaze)yang meledakkan diri sendiri dengan bom ketika berhadapan dengan Tentera Bersekutu semasa Perang Dunia Kedua.

Pada pandangan Haji Abdul Hadi Awang dalam kitabnya Uslub Dakwah, mengatakan cara kekerasan adalah cara terakhir apabila orang yang keras itu sudah menjadi penghalang dadi hadapan perjalanan dakwah.(1986) Keganasan perlu diselesaikan dengan perdebatan yang melalui pemikiran bukannya melalui keganasan juga kerana ia akan merugikan kedua-dua belah pihak.Keganasan bukanlah sifat Islam kerana Islam adalah agama yang sukakan keamanan,kaesjahteraan ,keharmonian bukanlah penindasan, kekejaman, tetapi apabila musuh menyerang umat islam maka wajiblah mementang dan memeranginya.( Abd Rahman Hj Abdullah,1998:339)



6.0 ANALISIS IMPAK YANG DIPEROLEHI MELALUI PENDEKATAN INI DALAM DAKWAH

Impak yang diperoleh melalui konsep ekstrem dalam menyeru masyarakat samada umat Islam itu sendiri mahupun kepada masyarakat bukan Islam boleh dibahagi kepada beberapa bentuk seperti berikut:

1.Impak dalam bentuk amalan

Sikap ini amat menyusahkan kepada kebanyakan manusia kerana tidak dapat bersabar dengannya seperti imam yang memanjangkan solat jemaah . Perkara tersebut dilarang oleh Saidina Umar, beliau pernah berkata” janganlah kamu membuat Allah membenci hambanya kerana memanjangkan bacaan dalam solat menyebabkan makmum yang mengikutinya membenci solat yang dilakukan”Dengan mengamalkan sifat ini menyebabkan manusia cepat bosan dan kemampuan mereka terbatas. Kemungkinan dia dapat melakukan suatu waktu tertentu dan akan meninggalkkan amalan tersebut kerana bosan dan merasakan ia suatu yang menyusahkan.

Oleh itu, Islam menyeru umatnya agar memudahkan sesuatu amalan asalkan dia mampu istiqamah dalam melakukannya(Yusuf al-Qardhawi 2002:7)seperti sabda Rasulullah:”Bebankanlah olehmu perbuatan yang mampu dilakukan kerana Allah tidak akan jemu kepadamu sehingga kamu jemu dan sesungguhnya amal yang disukai Allah ialah yang dilakukan secara berpanjangan walaupun sedikit”(Riwayat Bukhari, Muslim, Abu Daud, dan Nasa’i) seperti muallaf yang baru memeluk islam usahlah dipersulitkan dengan amalan Islam secara mendadak. Ini menyebabkan seseorang yang baru berjinak dengan Islam menjadi fobia, biarlah perubahan kepada mualaf tersebut sedikit demi sedikit. Kuatkan akidah terlebih dahulu kemudian pengamalan syariat pasti menyusul.

Sikap ini akan merosakkan kewajipan lain hakikatnya perkara tersebut perlu dipelihara dan dilaksanakan(Yusuf al-Qardhawi 2002:7).Rasulullah pernah menegur cAbdullah b cAmru yang telah melakukan ibadah dan mengabaikan kewajipannya kepada keluarga: Berpuasa dan berbukalah, berjaga dan tidurlah kerana jasmani, kedua matamu, isterimu mempunyai hak ke atas dirimu.”(Riwayat Bukhari) Manusia mempunyai hak-hak tertentu ,maka berilah hak kepada diri dan sesama manusia. Jangan disebabkan terlalu asyik dengan ibadat, perkara-perkara yang menjadi tanggungjawabnya di tinggalkan tanpa pembelaan
.
Kesan yang baik apabila seseorang melaksanakan sunnah dan menjaga akhlak mulia dilakukan dengan bijaksana melalui ucapan yang lemah lembut dan penuh kasih sayang,beramah mesra tanpa mengabaikan kualiti dakwah yang disampaikan.Ia akan melembutkan hati madcu(Yusuf al-Qardhawi 2003:46)contohnya Dr Yusuf al-Qardhawi, Syed Syed Tantawi, Syeikh cAtiah Sakhar, Tuan Guru Nik Abdul Aziz Nik Mat, Tuan Guru Haji Hadi Awang, Ustaz Uthman Muhammadi mereka dapat menyampaikan dakwah walaupun memakai jubah, serban dengan kemas.Tidak mengongkong seseorang mengikut apa yang diamalkan kerana bukan semua manusia mampu melakukan sepertinya dan seseorang itu pasti mendapat ketenangan dan mencapai apa yang diinginkan (lebih taqarub kepada Allah). Ramai dikalangan masyarakat telah tertarik dengan dakwah mereka tanpa mempertikaikan serban atau janggut yang dimiliki. Indahnya Islam pada hakikatnya namun ramai masyarakat yang masih mempertikaikan keadaan ini



2.Impak dalam pemikiran

Melalui pemikiran karya-karya, ceramah atau, risalah dan sebagainya daripada mereka yang berfahaman ekstrim. Buktinya mereka telah menghasilkan banyak buku-buku yang mempengaruhi orang lain seperti karya-karya Maududi dapat mempengaruhi Syed Qutb dan beliau memperincikan konsep tersebut dalam kitab tafsirnya Fi Zilal al-Quran, Muhammad Qutb dan lain-lain.

Apabila dilihat dari isu takfir, ia dibahagikan kepada dua keadaan iaitu tindakbalas terhadap penjajah oleh ulama. Dalam keadaan ini, mereka dapat meyemarakkan semangat Jihad fi sabilillah di kalangan umat islam seperti Tok Ku Paloh, Haji Abdul Rahman Limbong, Haji Mustafa Minangkabau khusus dalam memerdekan Malaysia dan ulama dalam dunia Islam seperti Ahmad Yasin, Hasan Nasrullah, Mullah Umar, Hasan Hudaibi dan sebagainya.Keadaan kedua iaitu mengkafirkan sesama Islam memberi kesan yang negatif kerana berlakunya pepecahan dikalangan umat Islam seperti tidak mahu solat jemaah bersama, kubur berasingan,berlakunya perceraian, tidak membayar zakat dan memakan sembelihan disebabkan berbeza fahaman.( Abd Rahman Hj Abdullah. 1998:345-346)

Apabila berlakunya kontraversi karikatur hina nabi, pengkritiknya yang dianggap radikal iaitu Ahmad Abu Laban telah berjaya membuka mata umat Islam untuk terus bangkit memprotes penghinaan tersebut dan beliau juga yang menyatukan umat Islam di Denmark.(Utusan 3 Feb) Setelah Ayatullah Khomeini menyeluarkan fatwa Salman Rushdie mestilah dibunuh disebabkan beliau menghina Islam melalui bukunya Satanic Verses telah mempengaruhi pemikiran yang dominan terhadap Islam di Britain.(Dr Abdul Ghafar Don) Perjuangan pembebasan yang dilakukan oleh gerakan Islam terdahulu dan kini telah banyak mencapai kejayaan yang dapat dimanfaat oleh umat Islam. (Muhammad Abu Bakar 1986:26)

Pada pandangan al-Maududi pelaksanaan dakwah hendaklah ditekankan untuk membangun masyarakat dan merupakan lanjutan dari perjuangan rasul-rasul terdahulu. Ijtihad di peringkat pemikiran perlulah dipadukan dengan jihad secara praktikal untuk mencapai kejayaan yang hakiki. (Mohamad Abu Bakar, 1982: 20-21)

3.0 Kesan tercetusnya ekstrimis-keganasan

Apabila seseorang atau golongan yang tidak dapat mengawal keadaan maka lahirlah ekstrimis keganasan ini. Ia adalah satu unsur kepada fahaman yang perlu dititik beratkan dalam perbahasan ini kerana ia memberi kesan yang besar pada masyarakat muslim dan non-muslim. Dua kesan dari isu yang telah dibincangkan iaitu:

3.1 Tragedi 11 September

Setelah berlakunya Tragedi 11 September, kuasa Barat yang diketuai oleh AS telah menuding kepada Islam dan terus menuduh Islam sebagai Teroris(Pengganas) global dan menjadikan Islam adalah musuh utama mereka. Ini memberi kesan kepada muslim seluruh dunia dan juga kepada non-muslim. Kesannya kepada umat Islam ialah lahirlah sikap Islamfobia yang diwar-warkan dalam media terutamanya kepada masyarakat minoriti islam di Amerika, Australia dan Eropah di tuduh sukakan keganasan, dipandang sinis oleh kuffar, masyarakat Islam menjadi khuatir untuk menegakkan Islam secara kaffah, perkataan jihad sering dikaitkan dengan teroris sedangkan dalam Islam ia amat berbeza.(Kusman Sadik 2006:49-52), berlakunya pencabulan asasi manusia.Perkara ini telah dilaporkan oleh Coucil on American Relation bermula dari berlakunya tragedi tersebut sehingga Oktober 2001 iaitu 959 kes di Amerika.(eramuslim) Jenayah benci terhadap umat Islam meningkat sebanyak 600% . Pihak pemerintah telah bertindak secara kuku besi dan memusnahkan asas-asas kebebasan. AS dan Britain memberi kuasa kepada polis untuk membunuh sesiapa sahaja yang disyaki sebagai’pengebom berani mati. (Prof.Dr.Abdul Rahman Embong 2005:50) Sebenarnya umat Islam sendiri marah dan benci dengan keganasan yang berlaku.

Usamah menjadi buruan utama AS dengan nilai USD5 bilion sekiranya sesiapa yang dapat menumpaskannya.(Luis s.r.v 2001:11)Di samping itu Kit Gate ketua National to Protect Political Freedom(NCPPF) di Washington telah mengatakan bahawa AS juga menangkap lebih 1000 yang disyaki terlibat dalam kes 11 September itu, 173 adalah dikalangan warga Arab Saudi dan Kerajaan Arab Saudi membantah keras tindakan tersebut kerana pelbagai ancaman dan tindakan buruk telah dilakukan kepada mereka sehingga ada yang terpaksa meninggalkan AS disebabkan fitnah, kezaliman , penindasan yang dialami dan Laman Web Jihad ditutup seperti azzam.com, qoqaz.com, stcom.net, afghan_ie.com dan taleban.com kerana ia dianggap penyebar maklumat yang dapat menggugat kestabilan AS.(eramuslim)

Kesan yang positif dapat dilihat iaitu Usamah menjadi sebagai wira baru dan terkenal dimana sahaja kerana poster gambarnya dipaparkan kepada pelbagai media.(Elly Burhaini Faizal 2001:23)Ia juga memberi kesan kepada non-muslim seperti peningkatan mendadak mahasiswa Amerika terhadap pengajian arab dan Islam kerana ingin mengetahui maklumat yang tepat dan merasakan maklumat yang perolehi tidak lengkap contohnya di Universiti Havard pendaftaran dalam jurusan sosial Timur Tengah meningkat empat kali ganda lebih besar daripada biasa. Universiti Chicago pendaftaran sebanyak dua atau tiga kali ganda. Buktinya peyelaras Program Akademik Pusat Pengajian Arab Kontemporer,Universiti Georgetown,Liz Kepferle menyebut bahawa permohonan mendaftar melaui e-mel, dan telefon meningkat dua kali ganda. (eramuslim)
Ramai non-muslim yang memeluk agama Islam setelah peristiwa ini.

3.2 Intifadah

Di Palestin, jihad yang dilakukan dalam Intifadah seperti amaliyah Ishtisyadiyyah memberi kesan yang mendalam pada masyarakat. Ini dapat menimbulkan kegerunan di hati musuh-musuh agar tidak dapat melakukan sewenang-wenangnya kepada rakyat Palestin. Kestabilan politik dan ekonomi Zionis tergugat.Ia memberi satu kemenangan moral kepada Islam bahawa Islam bukannya umat yang pengecut tetapi mereka adalah umat yang sanggup berkorban walaupun terpaksa mengorbankan nyawa.(Ibnu Ismail 53-56) Intifadah yang dilakukan juga dapat memberi ruang yang luas dan sokongan dari seluruh dunia dengan mempromosi melalui media elektonik dan dikenali sebagai eletronic Intifadah. . Ulama-ulama memberi sokongan terbuka kepada pejuang melalui amaliyyah istisyadiyyah, fatwa boikot, menyeru umat Islam sedunia menyertai misi pembebasan Palestin .Ini menimbulkan semangat kebangkitan Rakyat palestin (Maszlee Malik 2006: 75-79)Penghijrahan yahudi dari Israel ke tempat lain kerana mereka tidak mendapat keamanan di sana, buktinya apa yang diperkatakan oleh jeneral tentera Israel bahawa terdapat 25% yahudi yang berasal dari Barat telah pergi meninggalkan Israel.70% yahudi dari Timur juga meninggalkan Israel.(eramuslim)

Apabila berlakunya pemberontakan, pertempuran, bantahan, demontrasi di sesuatu tempat, ia dapat memberi peringatan kepada para pemimpin agar melakukan keadilan dan kesedaran kepada pimpinan sekular agar mengambil berat hak-hak kepada umat Islam. Ia juga dapat memberi kesedaran agar mereka menjadikan prinsip Islam adalah yang terbaik perlu diprkatikkan dalam kehidupan dan mereka lebih mengenali agama –agama lain serta dapat bertoleransi satu sama lain. (Zainuddin Fananie et al 2002:22)contohnya apa yang telah dilakukan oleh Ikhwan al-Muslimin di Mesir dan Sudan, Jamaah Islami di Pakistan ramai dikalangan pimpinan dan pengikutnya dipenjara termasuklah al-Maududi, Syed Qutb, akhirnya mereka berjaya mempengaruhi kerajaan mereka ke arah cita-cita Islam dan juga revolusi Iran yang dapat mengalahkan tentera Soviet dan berjaya mentadbir Iran di bawah pimpinan Ayatullah Khomeini.(Mohamad Abu Bakar, 1982:16)

7.0 PENUTUP

Dalam dakwah melalui pendekatan ini ada pro dan kontranya. Maka para intelektual Islam mestilah meneruskan dakwah melalui perkataan dan tindakan dengan penuh hikmah dan berterusan agar dakwah yang disampaikan dapat memberi kesan yang mendalam kepada semua masyarakat. Semua panganut Islam perlulah memeperbaiki keadaan dari sekarang, tonjolkan akhlak mahmudah, tidak suka kepada keganasan, kekerasan, penghinaan dan sebagainya kerana perkara tersebut bukanlah sifat Islam yang sejati. Islam menganjurkan umatnya agar mengikut jalan tengah sepertimana sabda Rasulullah yang bermaksud “sebaik-baik jalan adalah mengikut jalan tengah.

Pada pandangan penulis, umat Islam perlu bersikap ekstrim apabila musuh Islam melakukan ektrim pada kepada mereka seperti apabila musuh melakukan penghinaan, kezaliman,penindasan dan pencabulan pada agama itu sendiri, adakah umat Islam hanya berdiam diri tanpa memprotes atau melakukan tindakan untuk menanganinya?Umat Islam bukanlah boneka yang menjadi pak turut kepada kekejaman kuasa barat. Oleh itu, seluruh umat Islam perlu bangkit mengembalikan keizzahan Islam. Pada waktu tertentu mereka perlu moderate. Jalan pertengahan tersebut perlulah diambil apabila ianya bersesuaian dengan kehendak Islam sekiranya perkara tersebut adanya kemaslahatan kepada semua pihak. Dakwah melalui pendekatan ini memberi kesan yang besar kepada umat seandainya ia sesuai pada tempatnya. Apabila salah menggunakan pendekatan tersebut ia akan merugikan Islam dan seluruh umatnya.

.

RUJUKAN

Al-Qur’an

Abd Rahman Abdullah. 1998. Pemikiran Islam di Malaysia. Kuala Lumpur: Dewan
Bahasa dan Pustaka: USM Pulau Pinang, Pusat Pendidikan Jarak Jauh.

Abdul Rahman Embung. 2005. Umat Islam selepas peristiwa 7 Julai. Dewan
Masyarakat, November : 48-50

Abdul Rahman Mohamed. t.th. 30 Extemist characteristics Mentioned in al-Qur’an.
Singapore: Fiqh Consultancy&Services.

Abdul Ghafar Don. Dakwah menangani persoalan fundamentalis dan radikal, kertas
kerja,

al-Din Shahin Emad . 2005. Extrism and Moderation in Islamic Movement:Causes,
Motives and Repercussions . Jurnal Islam Movement its Impact on True Political
Stability of the Arab World.

al-Qardhawi, Yusuf. 1991. Islamic awakening between rejection and extremism. U.S.A:
The International Institute of Islamic Thought.

al-Qardhawi, Yusuf . 2002. Islam Ekstrem Suatu Analisis & Cabaran Terhadap
Kebangkitan Islam. Selangor: Penerbitan Darul Iman Sdn.Bhd.

al-Qardhawi,Yusuf. 2004. Antara pengganas dan mujahidin sejati. Selangor: Synerymate
Sdn Bhd.


Elly Burhaini Faizal, 2001. Panji . September : 23

Ensiklopedia Global. 2001. Kuala Lumpur: SmartGenie Corporation Sdn. Bhd.

Hafidz Abdurrahman. 2006. Bagaimana Islam memandang aksi bunuh diri dan mati syahid. Al-Wac ie: 43

Hornby A.S . 2000. English-Malay dictionary: Penerbit Fajar

Ibnu Ismail . 2002 . Nostalgia Syuhada Palestin . Kaherah : PMRAM

Johari Mat. 1996. Ghuluw dalam Akidah Islam: Satu Pengenalan Ringkas.Jurnal
Usuluddin 5 : 87-94.

Kamus Dewan. 1970. Kuala Lumpur: Dewan Bahasa dan Pustaka.

Kusman Sadik. 2006. Al-Wac ie: 52

Luis S.R. 2001. Osama bin Laden King of Terror or Saviour of Islam? Delhi: Pustak
Mahal.

Mark Juergernsmeyer. 2003. Terror in the Mind of God, terj Terorisme Para Pembela
Agama. Yogyakarta: Tarawang Press.

Mohamad Abu Bakar. 1982. Idea Kemajuan dalam Pemikiran dan Perjuangan
Golongan Fundamentalis Islam. monograf Islamika 2, Fakulti Sastera dan Sains
Sosial. Kuala Lumpur: Universiti Malaya

Mohd Izani B Mohd Zain, 2002, Fundamentalis Islam:Konflik antara Islam dan Barat.
Jurnal Yadim 3:13-19

Mohd Shauki Abd Majid. t.th. Pelampau Agama Keliru Tentang Kebaikan dlm Wacana
Hadhari dalam Islam, iBook Publication Sdn.Bhd.

Rashid. 2002. Jihad: The rise Militant Islam in Central Asia. London: Yale University
Press . Journal of Islamic Studies 14,Oxford University Press.

Rouben Azizian, Elizabeth Van Wie Davis. 2006. Terorism, Geopolitic and
Multinational Security cooperation in Central Asia. American Journal of
Islamic Social Sciences 23(3): 149-151

Shahrom TM Sulaiman. 2002. Terorisme Global dan pengganas agama. Kuala
Lumpur: Utusan Publications& Distributors Sdn Bhd.

Syed Hussin al-Attas, 2002, ke mana dengan Islam 22 artikel pilihan, wacana pemikir,
Utusan Pubications&distributors Sdn.Bhd.

________.2007. Pengkritik karikatur hina nabi meninggal dunia.. Utusan, 3 Febuari:17

Zainuddin Fananie et al. 2002. Radikalisme Keagamaan dan perubahan sosial.
Surakarta: Muhammadiyah University Press.