Monday, November 29, 2010

FAEDAH SUSU IBU TERSEMBUNYI

FAEDAH SUSU IBU TERSEMBUNYI
Kajian menunjukkan IQ bayi yang menyusu susu ibu adalah 5.2 mata lebih tinggi daripada yang tidak menyusu ibu.

Bayi yang menyusu ibu akan jarang dijangkiti penyakit, membolehkan ibu bapa bekerja dengan senang hati tanpa perlu mengambil cuti untuk menjaga anak yang tidak sihat, selain meningkatkan produktiviti.

Menyusukan bayi juga turut memberikan faedah kepada ibu tersebut dengan merendahkan risiko terhadap barah payudara dan ovari, mengelakkan pendarahan selepas bersalin, menjarakkan kelahiran kerana penyusuan merupakan cara perancang keluarga semulajadi, mempercepatkan proses pengurangan berat badan dan mengempiskan perut.

Penyusuan susu ibu juga akan menjimatkan wang kerana tidak perlu menyediakan barang keperluan untuk penyusuan, tidak perlu membeli susu formula dan mengurangkan perbelanjaan untuk rawatan perubatan kerana bayi yang menyusu ibu jarang sakit.

Katakan anda memilih untuk membeli pam pemerah susu yang mahal, kos pembelian itu masih murah dibandingkan dengan kos untuk susu formula yang perlu dibeli setiap bulan.

Pam yang menggunakan bateri walaupun berharga lebih kurang RM200-1500, boleh digunakan sehingga dua atau tiga tahun. Jika susu formula, setin berharga lebih kurang RM30. Berapa jumlahnya sebulan? Berapa yang boleh dijimatkan dalam setahun.
Selain itu, penyusuan susu ibu juga membantu mengeratkan kasih sayang antara anak dan ibu, lebih masa terluang bersama keluarga, dan menyumbang kepada objektif negara dalam perancangan keluarga.

No comments: