Tuesday, May 20, 2008

Pengharaman Khinzir

Oleh Bintu Ismail
PENDAHULUAN



Islam adalah agama yang syumul. Ia telah menetapkan kepada umatnya apa yang dibolehkan dan apa yang diharamkan dalam kehidupan sesorang muslim.Apa yang ditetapkan itu adalah bagi menjaga kesihatan, kesejahteraan dan kesempurnaan hidup. Khinzir adalah binatang yang diharamkan kepada umat Islam memakan atau mengunakannya ia merupakan dosa besar dan perbuatan yang tidak beriman.(Ahmad H. Sakr 2005:1) Kini makanan dan barangan yang dijual di supermarket, pasar-pasar dan digunakan seharian tanpa disedari adalah daripada bahan yang diharamkan iaitu mengandungi daging khinzir atau produk sampingannya semakin meluas di pasaran. Ini amat membahayakan kepada umat Islam.

Al-Quran sebagai perlembagaan yang mesti diyakini pada setiap insan dan menjadi panduan umat Islam telah menerangkan kepada manusia pengharaman khinzir dengan dalil yang jelas. Di dalam kertas kerja ini secara ringkas, penulis akan membincangkan beberapa perkara mengenai latar belakang khinzir, permasalahannya, isu-isu, perbahasan ulama mengenainya dan hikmah pengharaman agar masyarakat lebih faham dan peka dengan keadaan yang melanda masyarakat muslim kini.



BAB 1

PENGENALAN KHINZIR

1.1 Takrif khinzir

Khinzir adalah daripada perkataan arab yang bermaksud babi. Jamaknya khanazir (Abdul Rauf Dato’ Haji Hasan et al 2005:15) tetapi perkataan ini telah dimelayukan dan digunakan oleh masyarakat di Malaysia.Ia adalah sejenis binatang mamalia yang tergolong dalam famili Suidae. (Ensiklopedia Global 2001:59) Istilah – istilahnya yang digunakan seperti khinzir jantan ialah khinzir jantan pada semua peringkat umur. Khinzir kembiri pula khinzir jantan yang dibuang melalui pembedahan. Khinzir muda ialah anak khinzir yang berumur kira-kira 8 minggu yang telah bercerai susu. Gerompok adalah kumpulan khinzir. Seperanak adalah kumpulan anak khinzir yang dilahirkan serentak oleh ibunya. (Ensiklopedia Dunia. 2005:5)Lemaknyanya di sebut dengan perkataan shortening atau animalfat iaitu minyak yang diperolehi dari khinzir. Manakala dagingnya pula kebiasaannya ditulis dengan perkataan pork atau porc atau ham atau baeon. (al Kailani 1996:246)

1.2 Latar belakang khinzir

Khinzir terdiri daripada khinzir jinak dan hutan (Ensiklopedia Global. 2001:5). Ia mempunyai banyak jenis yang jinak dan diternak di seluruh dunia iaitu baka utama ia mempunyai 8 baka khinzir yang biasanya diternak termasuk landrace, Amerika, berkhire, putih chester, duroc, hampshire, cina poland, swine bertompok dan yorkshire. Khinzir liar pula, ia adalah haiwan yang garang dan yang kuat tinggal di hutan. Ia termasuk khinzir hutan (razor-back), khinzir kutil (phacochoerus aethiopicus), khinzir rusa (babyrousa). (Ensiklopedia Dunia. 2005:3-9) Khinzir hutan ini seakan-akan khinzir jinak namun muncungnya lebih tajam dan bulunya lebih panjang, ekornya berbulu dan bertaring. Khinzir yang dipercayai dipelihara oleh manusia dipercayai dari keturunan khinzir hutan eropah. Di Malaysia terdapat khinzir hutan yang berjanggut dinamakan Sus barbatus dan Sus scrofa ia selalunya di jumpai di kampung-kampung (Ensiklopedia Global. 2001:59).

Secara umumnya khinzir mempunyai badan yang tegap, gempal, bulat dan berat. Ia diliputi bulu yang kasar dan keras. Berkulit tebal penuh kelenjar yang tiada pada mamalia lain, berkaki pendek.( Kamus Dewan 1997: 81)Kepala dan lehernya pendek dan tebal. Seekor khinzir tidak boleh disembelih pada lehernya kerana ia sendiri sebenarnya tidak mempunyai leher jika dilihat dari anatomi semulajadinya. Bagi orang Muslim sekiranya khinzir itu boleh disembelih dan sesuai untuk keperluan manusia, maka Tuhan tentunya akan menjadikan khinzir itu mempunyai leher. Ia gemar berkubang di dalam lumpur untuk membantunya menyejukkan badan. Ia mempunyai penglihatan yang lemah disebabkan matanya yang kecil. Ekornya pendek dan bergelung, berdengus dan meringking apabila sakit. Berat khinzir jantan dewasa sekitar 160-230 kg, manakala khinzir betina pula antara 140-200 kg. Muncungnya amat peka pada sentuhan dan kebiasaannya digunakan untuk menggali dan mendapatkan akar-akar tumbuhan. Ia mempunyai 34 atau 44 batang gigi. (Ensiklopedia Dunia. 2005:3-9).

Khinzir mempunyai kitaran pembiakan yang cepat dan boleh mengawan pada umur 8 bulan. Khinzir mempunyai anak yang banyak kebiasaannya ia melahirkan anak dari 8 hingga 12 ekor dalam satu masa (al Kailani 1996:246) dan ia mampu melahirkan sehingga 27 atau lebih setelah bunting 4 bulan. Pertumbuhan sepenuhnya pada umur setahun setengah hingga 2 tahun. Jangka umurnya sekitar 9-15 tahun. Khinzir adalah ¼ daripada daging yang di makan oleh penduduk dunia. Terdapat 840 juta di ladang seluruh dunia. China mempunyai 40% daripada jumlah khinzir yang terbanyak didunia kemudian diikuti oleh Amerika. Khinzir adalah sumber utama pendapatan bagi kebanyakan negara. Khinzir boleh diternak di tanah yang kecil. Penternak menumpukan usaha untuk mengeluarkan baka pembiakan. Pembiakan yang terpilih memakan makanan yang berkhasiat, kandang yang lebih baik menghasilkan kinzir yang lebih baik. (Ensiklopedia Dunia. 2005:4). Penternakan khinzir adalah bahagian penting daripada ekonomi negara China. Khinzir kini lebih cepat membesar daripada khinzir dahulu. Makanannya ialah bijirin, jagung, sampah-sarap, cacing, tikus, serangga dan haiwan-haiwan kecil . Di ladang-ladang sekarang ia diberi makan samapah sarap yang dimasak dan sisa makanan manusia. (Ensiklopedia Global. 2005:5)

Ia adalah haiwan yang mudah diserang penyakit dan penyakit tersebut akan menjangkiti pemakannya antara penyakitnya ialah ‘penyakit taun’ ia mempunyai virus taun dalam darah dan najisnya, ‘penyakit khinzir ersipelas’ menjangkiti manusia dan membunuh haiwan lain terutamanya ayam belanda dan ‘penyakit bang’ iaitu penyakit yang menyebabkan keguguran anak, luka-luka pada sendi, tulang belakang dan zakar (Ensiklopedia Global. 2005:5).

1.3 Kegunaan khinzir

Kebanyakan penduduk dunia menjadikan khinzir sebagai makanan iaitu potongan daging, tulang rusuk, daging betis dan sebagainya. Lemaknya dibuat masakan, daging betis dan daging kaki dibuat jeruk. Setengah agama di dunia ini mengharamkan memakan haiwan ini terutamanya agama Islam melarang keras pengunaannya.Ia akan diterangkan selepas ini.

Kulitnya diproses di kilang dan dijadikan pelbagai kegunaan harian manusia seperti tali pinggang, sarung tangan, kasut, bulu berus, bahan penebat dan sebagainya. Firma farmaseutikal membuat insulin dan ubat lain yang dinuat daripada kelenjar khinzir. Darahnya dijadikan baja, makanan haiwan dan ubat. Lemaknya dibuat sabun, lilin, minyak pelincir, krim pencukur, bahan letupan dan tulangnya pula apabila dikisar dijadikan minyak tulang, glu, baja, bahan makanan haiwan dan lain-lain. (Ensiklopedia Dunia 2005:6)







BAB 2

PENGHARAMAN KHINZIR

Allah SWT menjelaskan pengharaman memakan khinzir kepada umat Islam berdasarkan dalil-dalil tersebut. Dalil pengharaman termaktub dalam al-quran dan al – Sunnah.

2.1 Dalil dari al-Quran

Terdapat empat tempat di dalam al-Quran yang berbicara mengenai pengharamannya iaitu sepertimana firman Allah SWT:
        •               •    
Maksudnya: Sesungguhnya Allah hanya mengharamkan bagimu bangkai, darah, daging khinzir dan binatang yang (ketika disembelih) disebut (nama) selain Allah (haram juga menurut ayat Ini daging yang berasal dari sembelihan yang menyebut nama Allah tetapi disebut pula nama selain Allah) tetapi barangsiapa dalam keadaan terpaksa (memakannya) sedang dia tidak menginginkannya dan tidak (pula) melampaui batas, Maka tidak dosa baginya. Sesungguhnya Allah Maha Pengampun lagi Maha Penyayang
(al-Qur’an al-Baqarah 2: 173)


       •       •                                                •    
Maksudnya: Diharamkan bagimu (memakan) bangkai, darah,daging babi, (daging haiwan) yang disembelih atas nama selain Allah, yang tercekik, yang terpukul, yang jatuh, yang ditanduk, dan diterkam binatang buas kecuali yang sempat kamu menyembelihnya (binatang yang tercekik, yang dipukul, yang jatuh, yang ditanduk dan yang diterkam binatang buas adalah halal kalau sempat disembelih sebelum mati) dan (diharamkan bagimu) yang disembelih untuk berhala dan (diharamkan juga) mengundi nasib dengan anak panah (Al Azlaam artinya: anak panah yang belum pakai bulu. Orang Arab Jahiliyah menggunakan anak panah yang belum pakai bulu untuk menentukan apakah mereka akan melakukan suatu perbuatan atau tidak. Caranya ialah: mereka ambil tiga buah anak panah yang belum pakai bulu setelah ditulis masing-masing iaitu dengan: lakukanlah, Jangan lakukan, sedang yang ketiga tidak ditulis apa-apa, diletakkan dalam sebuah tempat dan disimpan dalam ka'abah. Apabila mereka hendak melakukan sesuatu. Maka mereka meminta supaya juru kunci ka'bah mengambil sebuah anak panah itu. Terserahlah nanti apakah mereka akan melakukan atau tidak melakukan sesuatu, sesuai dengan tulisan anak panah yang diambil itu. kalau yang terambil anak panah yang tidak ada tulisannya, Maka undian diulang sekali lagi) (mengundi nasib dengan anak panah itu) adalah kefasikan pada hari ini, (masa haji wada', haji terakhir yang dilakukan oleh nabi Muhammad s.a.w.) orang-orang kafir telah putus asa untuk (mengalahkan) agamamu, sebab itu janganlah kamu takut kepada mereka dan takutlah kepada-Ku. pada hari ini telah Kusempurnakan untuk kamu agamamu dan telah Ku-cukupkan kepadamu nikmat-Ku, dan telah Ku-redhai Islam itu jadi agama bagimu. Maka barang siapa terpaksadibolehkan memakan makanan yang diharamkan oleh ayat ini jika terpaksa (kerana kelaparan tanpa sengaja berbuat dosa) sesungguhnya Allah Maha Pengampun lagi Maha Penyayang. (al-Qur’an al-Maidah 5: 3)

       •          ••        •           •    
Maksudnya: Katakanlah:"Tiadalah Aku peroleh dalam wahyu yang diwahyukan kepadaku, sesuatu yang diharamkan bagi orang yang hendak memakannya, kecuali kalau makanan itu bangkai, atau darah yang mengalir atau daging babi - kerana Sesungguhnya semua itu kotor - atau binatang yang disembelih atas nama selain Allah. Barangsiapa yang dalam keadaan terpaksa, sedang dia tidak menginginkannya dan tidak (pula) melampaui batas, Maka Sesungguhnya Tuhanmu Maha Pengampun lagi Maha penyayang.

(al-Qur’an al-An’am 6:145)

        •               
Ertinya:Sesungguhnya Allah Hanya mengharamkan atasmu (memakan) bangkai, darah, daging babi dan apa yang disembelih dengan menyebut nama selain Allah; tetapi barangsiapa yang terpaksa memakannya dengan tidak menganiaya dan tidak pula melampaui batas, Maka Sesungguhnya Allah Maha Pengampun lagi Maha Penyayang.
(al-Qur’an al-Nahl 16:115)


2.2 Dalil ini disokong oleh hadis Nabi SAW antaranya ialah:

Daripada Abu Hurairah r. a katanya: Rasulullah s.a.w bersabda: Demi Allah! Sesungguhnya telah hampir masanya Nabi Isa bin Mariam turun kepada kamu untuk menjadi hakim secara adil. Dia akan mematahkan salib, membunuh babi serta tidak menerima cukai dan harta akan melimpah sehinggalah tidak ada seorangpun yang ingin menerimanya.(riwayat daripada Bukhari. Muslim, Termizi, Ibn Majah, Ahmad Ibn Hambal) Hadis ini adalah sohih.

Daripada Jabir bin Abdullah bahawanya Rasululullah SAW telah berkhutbah pada hari pembukaan Mekah: “Sesungguhnya Allah dan RasulNya telah mengharamkan penjualan arak , khinzir, berhala untuk sembahan. Seorang sahabat telah bertanya: Wahai Rasulullah, apakah pendapatmu mengenai lemak bangkai kerana ia dapat digunakan untuk mengecat perahu dan meminyak kulit serta digunakan untuk menyalakan lampu? Jawab Rasulullah SAW: Tidak, ia tetap haram, kemudian Rasulullah SAW telah bersabda Allah SWT telah memerangi orang-orang yahudi kerana ketika Allah SWT mengharamkan lemak ke atas mereka, mereka tetap mengambil lemak tersebut kemudian menjualnya lalu memakan hasil penjualan itu.(Hadis hasan ) (Riwayat Termizi dan Ibn Majah)

Daripada Abu Hurairah R.A bahawanya Rasulullah SAW telah bersabda: Sesungguhnya Allah SWT telah mengharamkan arak dan harganya (wang hasil jualannya) mengharamkan bangkai dan harganya serta mengharamkan khinzir dan harganya. ( Riwayat Darulqutni)




2.3 Perbahasan ulama mengenai pengharaman khinzir

Terdapat sepuluh makanan yang diharamkan kepada umat Islam iaitu bangkai, khinzir, haiwan yang disembelih dengan menyebut nama selain Allah, haiwan yang tercekik, dipukul, terjatuh dari tempat yang tinggi, ditanduk dan diterkam oleh binatang lain serta yang disembelih untuk berhala. Ini meninterperetasikan bahawa khinzir adalah salah satu yang diharamkan oleh Islam kepada umatnya. Penjelasan ulama berkaitan khinzir seperti berikut:

Menurut al Tabarī dalam tafsirnya (1992) bahawa Allah SWT mengharamkan kepada kamu memakan makanan yang sudah menjadi bangkai, darah dan daging khinzir. Selain itu tidak diharamkan kepada umat Islam. Ibnu Kathīr (2004: 324) menjelaskan pengharaman ini adalah kepada daging yang disembelih atau mati sendiri .al-Marāghī (2001: 331)menyebut dalam tafsirnya berkaitan pengharaman khinzir kerana khinzir membahayakan manusia terutama negeri-negeri tropika sebagaimana yang dibuktikan dari pengalaman hasil kajian. Menurut ahli tafsir al-Qurthubi pula menyebut ijma’ ulama bahawa semuanya diharamkan kecuali bulunya kerana ia tidak dimakan oleh manusia. ( Profesor Dr. Hj Abdul Malik Abdul Karim. 1999: 385)

al-Māwardi (t.th) pula menafsirkan daging khinzir kepada dua pendapat iaitu pengharaman ke atas dagingnya sahaja kerana ringkasan daripada nas tersebut. Pendapat itu adalah pendapat daripada Dāud bin Ăli manakala pendapat kedua, mengatakan pengharamannya adalah umum kepada keseluruhan khinzir, nas yang menerangkan daging tersebut adalah kepada keseluruhan khinzir kerana dagingnya adalah kebanyakan daripada anggota khinzir tersebut, pendapat ini adalah pendapat daripada jumhūr culama. Menurut Profesor Haji Bustam A. Ghani dalam al-Quran dan tafsirnya menyebut bahawa pengharaman khinzir termasuklah semua anggotanya kerana ia mengandungi kuman yang berbahaya dan suka memakan bangkai tikus dan zat-zat yang kotor dan sukar dicernakan.



Syiekh Atiyah Saqr dalam Ahsān al-Kalām fi al-Fatāwā wa al-ahkām (t.th. 236 – 237) pula menjelaskan pengharaman memakan daging termasuklah semua bahagian dari lemak, hati, limpa,atau tulang yang di dicincang bersama daging samada khinzir yang liar, khinzir jinak ( Profesor Dr. Hj Abdul Malik Abdul Karim. 1999: 385) dan lain-lain . Sesungguhnya gantinama (damīr) di dalam firman Allah "sesungguhnya ia adalah kotor" merujuk kembali kepada perkataan khinzir dan bukan kepada perkataan daging kerana pengharaman dagingnya di ketahui pada teks ayat tersebut, maka jika kembali kepada damīr, ia memerlukan kebebasan perkataan lebih dari faedah pembentukannya, maka menjadi wajib kalimat 'khinzir' memberi faedah kepada perkataan yang mengharamkan keseluruhan bahagiannya dan dengan pengharaman mana-mana bahagiannya menunjukkan ia adalah najis kerana sesungguhnya Allah telah mensifatkannya sebagai kotor dan kotor adalah najis, Jumhūr fuqaha' menyatakan kenajisan yang hidup dan yang mati berdasarkan dalil ayat-ayat ini dan jika dalil ini dibincangkan, maka najis itu dikelaskan sebagai najis hukum iaitu haram di makan, dan bukan najis cain (najis material) sebagaimana kenajisan kaum Musyrikin sebagaimana firman Allah swt : "Sesungguhnya orang Musyrikin itu najis", maka ia adalah kenajisan ictiqad dan bukan najis material, maka tidaklah dikatakan setiap seorang Musyrikin itu najis contoh lagi di dalam firman Allah swt :"Bahawa sesungguhnya arak dan judi dan pemujaan berhala dan mengundi nasib dengan batang-batang anak panah adalah (semuanya) kotor (keji) dari perbuatan Syaitan", maka kenajisan penyembah berhala dan meramal nasib adalah dari segi hukum dan ianya haram, dan bukanlah najis cain (material).

Justeru, apabila dilihat daripada pelbagai pandangan ulama maka penulis menyimpulkan bahawa pendapat jumhūr yang menyatakan pengharaman khinzir adalah secara umum iaitu apa-apa sahaja yang berkaitan dengan khinzir samada dagingnya, kulitnya, lemaknya, bulu atau sebagainya yang jinak mahupun yang liar ada manfaat atau sebaliknya. Ia digunakan untuk perubatan atau keperluan harian ia tetap diharamkan kepada umat Islam kerana pengharamannya sudah jelas oleh Allah SWT kepada penganutNya.




BAB 3

ISU-ISU KHINZIR
3.1 Sosej usus dan enzim khinzir
Isu sosej keluaran sebuah syarikat yang digembar gembur bahawa syarikat tersebut telah mengeluarkan sosej bersalutkan usus khinzir dengan cop halal JAKIM. Ini menunjukkan JAKIM telah memberikan pengiktirafan HALAL pada usus khinzir yang menyaluti sosej. Kaum Muslimin di Malaysia kurang perihatin terhadap isu tersebut. Bukan sekadar tiada tindakan undang-undang dari pihak rakyat Malaysia beragama Islam yang ditipu oleh pihak-pihak Kapitalis yang tidak bertanggung jawab, mereka sibuk dengan satu ritual yang tidak pernah diajar oleh Rasulullah S.A.W. malah tidak pernah dilakukan oleh umat Islam semenjak Rasulullah S.A.W. menerima wahyu di gua Hira sehinggalah apa yang berlaku di Malaysia ini. Sudahlah hak mereka di sisi undang-undang tidak mereka perjuangkan, mereka muncul di kaca televisyen dengan aktiviti yang hanya akan menjauhkan bukan Islam dari agama Islam yang mulia (Maszlee Malik 2005) dan di Indonesia pada 10 Januari 2001 pula di kejutkan dengan berita mengenai penghasilan serbuk perisa Ajinomoto daripada enzim berasaskan sumber khinzir dengan menggunakan Bactosoytone iaitu zat makanan yang dijadikan ibu dalam proses penapaian. Ia terhasil daripada protein kacang soya yang dipecahkan dengan menggunakan enzim yang diekstrak daripada penkreas khnizir. ( PANDUAN.2006:158)
3.2 Virus selsema burung

Virus ini bukan sahaja pada burung, itik dan ayam tetapi ia juga dikesan di dalam ternakan khinzir di Lembah Gelders, Belanda. Berasaskan pengetahuan semasa, tidak terdapat kes jangkitan virus H5N1 kepada manusia melalui ayam mentah, dibekukan atau makanan beku berasaskan ayam. Oleh kerana virus H5N1 mudah musnah apabila dipanaskan, jangkitan selsema burung tidak merebak melalui daging ayam yang dimasak dengan sempurna.
Kerisauan terhadap jangkitan selsema burung. Terdapat beberapa sebab kekhuwatiran terhadap jangkitan selsema burung.
1. Jangkitan selsema burung mengakibatkan banyak kes kematian.
2. Influenza A yang menyebabkan selsema burung mempunyai keupayaan dan kecenderungan untuk berubah dan bergabung dengan virus sub-jenis influenza dalam manusia, menghasilkan sub-jenis Influenza A yang baru. Sub-jenis baru ini mampu mempunyai ciri-ciri virus selsema manusia yang mudah menjangkiti sesama manusia. Ketiadaan daya ketahanan kepada virus jenis baru ini disebabkan tiadanya jangkitan lepas dan ketiadaan vaksin kepada virus ini untuk mengawal wabak selsema burung, mampu menyebabkan kes jangkitan dan kematian yang tinggi di kalangan penduduk dunia.(Mohamed Yosri Mohamed Yong. 2007.)

3.3 Tiga pengusaha ternakan khinzir dikesan bermasalah
Jawatankuasa penyiasat telah mengesan tiga ladang ternakan khinzir iaitu sebuah di Tapah Road, sebuah di Bidor dan sebuah lagi di kawasan Air Kuning yang menimbulkan masalah pencemaran bau busuk. Faktor yang dikesan berlakunya masalah pencemaran ini adalah kerana kedudukan ladang-ladang terbabit yang jaraknya hampir dengan kawasan kediaman, jalan raya dan tidak menguruskan ladang penternakan mereka dengan baik. Sementara itu, Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Ayer Kuning, Dato’ Samsudin Hasan telah mengadakan dialog tujuh pengusaha penternakan khinzir dalam DUN Ayer Kuning bagi mencari jalan dan menangani masalah pencemaran bau busuk najis khinzir yang melibatkan kawasan berhampiran perkampungan Melayu. Beliau juga telah meninjau kawasan pembuangan sisa khinzir di Kampung Pulau Tiga untuk melihat secara dekat bagaimana air kolam yang mengandungi sisa najis khinzir mengalir keluar ke dalam parit sebelum menyusuri ke Sungai Batang Padang (http://berita.perak.gov.my/mei05/muka5.htm)
Penerokaan hutan bakau dan sisa ternakan khinzir juga adalah antara punca kepupusan sumber perikanan yang kritikal. Kepupusan ikan di Pulau Mutiara itu dikaitkan dengan pemusnahan atau pembangunan hutan bakau seperti di kuala Sungai Pinang dan Sungai Chenaam di Seberang Prai. Difahamkan kira-kira 140 hektar kawasan bakau di Kuala Sungai Pinang sudah dimajukan menjadi kolam ternakan udang manakala bakinya hanya kira-kira 200 hektar. Rantaian ekosistem marin musnah apabila paya bakau musnah.Turut membimbangkan ialah pelepasan sisa industri dan ternakan khinzir termasuk ternakan secara komersil di Gertak Sanggul. Pihak berkuasa mengesan kewujudan antibiotik dalam perairan di situ daripada najis khinzir yang dibuang. Keadaan ini turut mengancam kesihatan orang ramai. Penemuan bahan itu dibuat hasil kajian makmal baru-baru ini.(Kamal Ahmad, 1999)

3.4 Kasut kulit khinzir

Kasut kulit yang dibuat daripada kulit khinzir banyak terdapat di pasaran. Harganya juga murah. Kebiasaannya peniaga-peniaga tidak mempamerkan tanda amaran kulit khinzir untuk mengelakkan kerugian kerana orang Islam secara khususnya tidak berminat untuk masuk ke premis-premis yang terdapat barangan daripada kulit khinzir. Kulit khinzir biasanya digunakan untuk membuat kasut, tali pinggang dan beg.(akmanizam online)

3.5 Kapsul gelatin

Pada 1991 CAP mendapati 3 buah syarikat farmaseutikal telah membekalkan ubat-ubatan dan suplimen vitamin yang berada di pasaran Malaysia adalah diperolehi daripada kulit khinzir dari Amerika. Kira-kira 60% daripada gelatin digunakan oleh Syarikat Parke-Davis di Kanada setiap tahun ialah daripada kulit khinzir. Ia didedahkan dalam buku yang berjudul Gelatine: An Overview of the World Market with Special Referance to the potiential for developing countries( PANDUAN.2006:104)

3.6 Wabak JE (Japanese Encephalitis)

Wabak JE yang merebak pada 1998 beberapa negeri di Malaysia telah meragut banyak nyawa. Kerajaan telah memperuntukkan sebanyak jutaan ringgit untuk kos vaksin iaitu RM 25juta untuk penduduk dan RM 7.5 juta pula untuk 500 000 khinzir.Virus ini merebak dalam ternakan khususnya khinzir. Penyakit ini dikesan di Jepun ada tahun 1935 dan di Malaysia pertama berlaku terhadap tahanan British ada tahun 1951. Virus ini menyebabkan demam-demam, kejang otot, dan boleh membawa maut. Badan Kesihatan sedunia (WHO) menganggarkan lebih kurang 50 000 kes berlaku di seluruh dunia setiap tahun dan 10 000 daripadanya telah maut. Wabak ini memberi amaran agar manusia mematuhi perintah Allah SWT. (Hussain Mat Din 1999: 60-61)

BAB 4

PERMASALAHAN KHINZIR DAN FATWA

4.1 Memelihara khinzir dan berniaga khinzir di negara Islam

Menurut fatwa yang dikeluarkan oleh Mufti Brunei menyatakan bahawa perkara ini tiada kena mengena dengan ekonomi orang Islam tetapi ada juga yang mengambil kesempatan untuk mengaut keuntungan walaupun melanggar aturan agama, adat dan kesihatan. Islam membenarkan non-muslim memelihara khinzir, meminum arak dan merayakan perayaan asalkan tidak menzahirkan perkara tersebut kepada umat Islam. Ini telah disebut dalam al-Minhāj karangan Imam Nawawi. Islam melarang meyakiti umatnya dengan khinzir dan kandang-kandangnya kerana ia adalah haiwan yang kotor dan najis. Ini dapat dilihat bahawa Islam amat memelihara kebersihan dan kesihatan penganutnya dan tidak menggalakkan memelihara dan membiakkan khinzir.(Awang Hj Ismail .2001.244)

4.2 Penjualan daging khinzir secara terasing

Apabila penjual menjual secara terasing dan tidak dilihat oleh orang-orang Islam serta tidak mengganggu mereka, maka adalah harus bagi kerajaan Islam memberi kemudahan tapak tanah khas untuk orang-orang bukan Islam menjual daging khinzir itu. Ini supaya daging khinzir itu tidaklah terdedah sehingga dapat dilihat oleh orang-orang Islam, pada masa yang sama ia merupakan satu cara mengawal kesihatan dan juga mengelakkan fitnah (kekacauan) yang berpunca daripada kegelisahan orang ramai sekiranya daging-daging khinzir itu mudah dilihat dan dijumpai di kalangan orang ramai itu.


Jikalau berbangkit perkara fitnah yang boleh menimbulkan dua mudarat di dalam sesuatu masalah seperti masalah tiada kemudahan bagi orang-orang bukan Islam menjalankan urusan mucamalahnya, maka kerajaan Islam bolehlah mengambil mudarat yang lebih ringan, tambahan lagi tindakan ketua negara Islam itu ialah berdasarkan maslahah, sebagaimana kaedah menyebutkan:
تصرف الإمام على الرعية منوط بالمصلحة.

Ertinya: "Tindakan ketua negara ke atas rakyat terikat dengan maslahah. "

Dalam pada itu, apabila kerajaan memberi kemudahan yang dimaksudkan, ia perlu diingat bahawa apa yanag dilakukan hanyalah untuk memenuhi hajat atau keperluan semata-mata tanpa menjejaskan orang Islam sendiri seperti terjejas aqidah atau lain-lain kepentingan mereka, hatta sekadar kepentingan duniawi sekalipun. Maka kerana itulah pemilihan tapak tanah contohnya, jenisnya bukanlah yang bermutu (prime land) sehingga boleh merugikan umat Islam samada dalam jangka pendek mahu pun jangka panjang. Kerajaan harus mengambil sewa yang munasabah sepertimana sewa kepada kemudahan yang lain iaitu sekiranya ia disediakan oleh kerajaan. (Awang Hj Ismail 1998:102-114)

4.3 Menyentuh tin yang mengandungi khinzir

Apabila seseorang hanya menyentuh tin yang tiada terdapat zat khinzir tersebut sekiranya sama-sama kering, tidak perlu samak cukup sekadar membasuh anggota yang terkena najis dengan sabun. Apabila merasa ragu-ragu yang salah satu daripadanya basah maka hendaklah disamak.Tersentuh barangan tin yang di dalamnya mengandungi daging khinzir tidak perlu disamak. (http://www.muftiselangor.gov.my)




BAB 5

HIKMAH DAN BUKTI PENGHARAMANNYA.


Sebab musabab pengharaman sebenarnya hanyalah diketahui oleh al-Khalik sahaja, namun umat Islam perlulah yakin bahawa setiap sesuatu yang diharamkan oleh Allah SWT pasti ada hikmah yang tersirat disebaliknya, kadang-kala manusia tidak mengerti hikmah tersebut lalu mereka melanggar perintah Allah SWT. Sejak mutakhir ini, banyak kajian saintifik dilakukan dan manusia yang diberi akal yang baik oleh Allah SWT ini mampu menerokai hikmah tersebut. Oleh itu, kajian tersebut dapat menguatkan lagi keimanan umat Islam tentang pengharaman khinzir.

Antara hikmah diperolehi ialah seseorang yang tidak memakan khinzir dapat menjaga kesihatan fizikal, pendidikan moral, agar mereka dapat membangunkan kehidupan yang sejahtera dan mangajar umatnya hidup dalam keadaan persekitaran yang bersih. (PANDUAN. 2006: 78) Justeru Allah SWT telah menggariskan kepada umatNya agar meninggalkan dari memakan dan menggunakan apa-apa yang berkaitan dengan khinzir. Islam menggalakkan supaya umat IslamNya berfikir, mengingati, mengkaji dalam setiap aspek kehidupan. Pengharaman ini juga untuk menunjukkan kepada manusia bagaimana seseorang memajukan dirinya dengan cara yang benar ke arah menjadikan satu unit yang sihat dalam struktur keluarga, masyarakat dan ummah seluruhnya.(PANDUAN. 2006: 79). Ini terbukti membawa kemudhoratan kepada manusia melalui beberapa aspek antaranya ialah:

5.1 Bukti dari aspek agama

Pengharaman memakan khinzir bukan sahaja kepada umat Islam namun ia juga diharamkan kepada agama yahudi dan agama kristian. Ia telah di jelaskan sejak zaman Nabi Musa.
( Profesor Dr. Hj Abdul Malik Abdul Karim. 1999: 385). Memang tidak dinafikan bahawa penganut kristian, mereka menganggap memakan daging khinzir tidak salah dari segi undang-undang kerana Bible tidak menghalang pengambilannya tetapi apabila diamati dari kandungan hasil sastera menunjukkan Nabi Isa tidak memakan daging khinzir sepanjang hidupnya. Perkara ini dibuktikan oleh Bible sendiri dalam Perjanjian Lama Kitab Imamat Leviticus fasal 11, ayat 7-8 berkaitan dengan daging khinzir ini, kata Bible: Dan khinzir sesungguhnya mempunyai kuku tapaknya terbahagi, mempunyai dua belahan tetapi tidak memamah , khinzir bagimua itu adalah tidak bersih, janganlah kamu makan, dan bangkainya janganlah kamu sentuh , ia adalah tidak bersih untuk kamu.

H.L Hasting pula menyebutkan dalam bukunya yang berjudul “Will The Old Book Stand” halaman 92:“Khinzir telah dijadikan untuk pemakan bangkai untuk memakan benda-benda yang kotor dan menjijikkan tetapi apabila ia telah makan tidak diperuntukkan kepada manusia untuk memakan mereka.”

Rev C.L Vories menyatakan dalam “The Hog” halaman 26”:

Kitab Bible telah pasti dan terang melarang memakan daging khinzir kepada semua yang menyayangi kata-kata tuhan mereka dan akan mentaati ajaranNya tidak akan langsung bertanya soalan kenapa dan patutkah mereka manahan diri dari mamakan makhluk yang kotor itu.

Apabila dilihat pada pandangan Islam sendiri, kedatangan Nabi Muhammad SAW untuk menyucikan agama kristian dan yahudi dan melengkapi ajaran – ajaran agama sebelumnya. Oleh itu jelaslah kepada seluruh manusia bahawa Islam datang mangkukuhkan lagi larangan keras memakan khinzir seperti yang telah dijelaskan pada bab 2.
5.2 Bukti dari aspek perubatan
Memakan daging khinzir menyebabkan pelbagai penyakit kerana khinzir memakan benda-benda yang menjijikkan(al-Kailani 1996: 246).Orang bukan Islam yang lain dan ateis akan hanya bersetuju jika mereka dapat diyakinkan melalui sebab, logik dan sains. Allah SWT membuka rahsia pengharamannya, ulama telah mengemukakan terdapat pelbagai penyakit yang tidak diketahui oleh manusia sebelum ini(al -Shacrāwi. T.th) bahwa boleh menyebabkan tidak kurang daripada tujuh puluh jenis penyakit yang pelbagai. Terdapat beberapa parasit-parasit dan bakteria yang mengerumuni khinzir dan hidup dalam dagingnya yang akan memindah kepada seseorang yang memakannya dengan pelbagai penyakit kepada manusia seperti cacing pipih/pita, cacing gelang, cacing kerawit, faciolopis buski, paragonimus, clinorchis senesis dan ersyipelothorix rhnsiphayhiae.(Ahmad H.Sakr 2005:13)

Antara yang berbahaya adalah Taenia Solium, iaitu menurut istilah umum, cacing pita. Ia tersimpan di dalam usus dan sangat panjang. Ovumnya, iaitu telur memasuki aliran darah dan mampu mencapai hampir ke semua organ tubuh. Bagi menyempurnakan kitaran hidupnya, ia akan membentuk risa kista/pundi (lihat lampiran A) , jika ia memasuki otak, boleh mengakibatkan hilang ingatan, kekejangan urat, hesteria, kegilaan. Jika memasuki jantung, boleh menyebabkan tekanan darah tinggi dan serangan jantung.(Ahmad H.Sakr 2005:14) jika memasuki mata akan menyebabkan buta, jika memasuki hati akan mengakibatkan kerosakan hati. Ia boleh merosakkan hampir ke semua organ tubuh. (http://suarajumaat.kym.edu.my/suarajumaat) Setelah risa kista memasuki badan manusia, suatu yang mustahil untuk menghancurkannya dengan ubat.

Dr Muhammad Jaffer menulis dalam rencananya Januari 1967 menyenaraikan 16 jenis kuman berbahaya yang ditemui dalam daging kinzir. Jumlah pesakit yang menghidapi penyakit cacing pita yang tertinggi di dunia adalah penduduk yang memakan daging khinzir. (PANDUAN 2006:80)Tanggapan salah paling umum mengenai daging babi ialah jika ianya dimasak dengan betul, ovum-ovum tersebut akan mati. Dalam satu projek penyelidikan yang dijalankan di Amerika, didapati daripada 24 orang yang menghidap Trichura Tichurasis, 22 telah memasak daging babi tersebut dengan betul. Ini menunjukkan bahawa ovum yang terkandung di dalam daging khinzir tidak mati pada suhu masakan yang normal. (http://suarajumaat.kym.edu.my/suarajumaat)

Menurut Rizvi dalam bukunya ‘Pork’ halaman 30 menyebut berkaitan dengan khinzir, ianya pembawa banyak penyakit yang serius dan boleh membawa maut seperti disenteri, trikinosis ( lihat lampiran B ), penyakit kuning, kelemasan, sekatan usus, demam kuat, demam kepialu, ketempangan, keguguran, mandul, cirit birit, kematian secara mengejut dan lain-lain. (Ahmad H.Sakr 2005:14)

Dr Ebrahim Kazim telah menukilkan dalam rencananya yang berjudul ‘Medical aspect of forbidden food in Islam’ telah menerangkan bahawa khinzir ialah binatang yang memakan apa sahaja yang mendatangkan pelbagai penyakit kepada manusia, penyelidikan tertumpu kepada penyakit nyanyuk. Usia yang meningkat mempunyai pengerasan lapisan saluran darah ke jantung dan otak dalam proses yang dinamakan aterosklerosis. Apabila berlakunya pembekuan darah ia mengakibatkan trombosis koronari (serangan jantung) dan trombosis serebrum (strok) (PANDUAN 2006:80)

5.3 Bukti dari aspek kajian kimia

Khinzir mempunyai bahan pembina lemak. Daging babi mempunyai sangat sedikit bahan membina otot dan mengandungi lemak berlebihan. Suatu yang mustahil untuk memisahkannya lemak-lemak tersebut daripada dagingnya. Tahap lemak yang tinggi mengakibatkan hipertensi (tekanan darah yang terlalu tinggi) dan serangan jantung, cirit birit jika iklimnya panas, seriwan (sprue) di daerah-daerah lain (Ahmad H. Sakr 2005: 22)

Tidak menghairankan bahawa lebih 50% rakyat Amerika menghidap hipertensi. (http://suarajumaat.kym.edu.my/suarajumaat)Pakar khasiat makanan menasihati pesakit agar mangurangkan penggunaan daging khinzir kerana ia mengandungi 67% asid-asid lemak polyun saturated fatty asid (PUFA), 1/3 daripada jumlah asid lemak adalah asid tepu yang tidak boleh dihidrolisiskan. Keadaan ini menyebabkan tahap trigliseraid (TG) dalam plasma dan kolestrol yang tinggi (Ahmad H.Sakr 2005:14). Mengikut hasil penyelidikan menyatakan lemak khinzir melebihi kandungan lemak daging-daging lain seperti daging lembu, kambing, dan lain-lain dan mengambil masa yang sama untuk dihadamkan. (PANDUAN 2006:80) Ia diakui oleh Profesor HAMKA bahawa makan kotor yang dimakan oleh khinzir tersebut menggemukkan badan dan tidak sepatutnya badan manusia dipergemukkan oleh perkara tersebut.

5.4 Bukti dari segi tingkahlaku

Segala karekter dan tindakannya seseorang insan akan dipengaruhi oleh makanan yang dimakannya contohnya eksperimen yang dijalankan kepada kanak-kanak untuk melihat kekurangan zat makanan mengikut pencapaian intelektual dan integrasi deria rasa dan didapati mekanisme memberi pengaruh secara langsung dan tidak langsung kepada kanak-kanak tersebut. Ini menunjukkan jenis makan memberi kesan kepada tubuh dan mempengaruhi seseorang. Contoh eksperimen yang lain pula pernah dilakukan di Maryland, Amerika Syarikat telah mendapati kanak-kanak yang tidak memakan daging , mereka tidak mempunyai protein haiwan. Ini menyebabkan kanak-kanak tersebut tidak boleh bertoleransi, tidak bersosial, tidak agresif dan hyperaktif selepas itu mereka diberi diet yang mempunyai protein haiwan keadaan sikap dan kelakuan mereka dapat kembali normal.

Khinzir adalah satu-satunya haiwan yang merelakan pasangannya mengawan dengan khinzir yang lain di hadapannnya . Khinzir betina mendapat kebenaran dan tiada malu untuk mengawan dengan mana-mana khinzir jantan sekalipun, sedangkan pasangannya tidak cemburu terhadap apa yang dilakukan. Keadaan ini seolah-olah khinzir betina itu sebagai pelacur yang paling teruk manakala khinzir jantan pula tidak mempunyai moral yang baik dengan membiarkan pasangannya mengawan dengan khinzir jantan mana yang diingini. Justeru, seseorang yang memakan daging khinzir akan mempengaruhi personalitinya termasuklah melakukan zina dan homoseksual (Ahmad H.Sakr 2005:19-20)

Di Amerika, kebanyakan orang memakan daging babi sering kali selepas majlis tari menari, mereka akan bertukar-tukar isteri, dan berkata"Anda tidur bersama isteri saya dan saya tidur bersama isteri anda." Mungkin budaya memakan daging babi menggalakkan budaya babi. Rakyat India menganggap Amerika sebagai sebuah negara yang paling maju dan canggih. Apa sahaja yang mereka lakukan, akan menjadi ikutan beberapa tahun kemudian. Menurut rencana di dalam majalah Island, amalan bertukar-tukar isteri telah menjadi kebiasaan di kawasan mewah(http://suarajumaat.kym.edu.my/suarajumaat)

Ia merupakan pembangkai ciptaan Allah (S.W.T.) terbaik misalnya di perkampungan India, kebiasaan penduduknya tidak mempunyai tandas moden dan penduduk kampung membuang najis di tempat terbuka. Selalunya najis tersebut dimakan oleh khinzir. Mungkin ada yang berhujah bahawa di negara-negara maju seperti Australia, babi diternak ditempat yang bersih. Walaupunpun kawasan tersebut bersih, realitinya ia tetap haiwan yang kotor kerana khinzir itu ditempatkan bersama di dalam kandang. Khinzir memakan dan menikmati najis mereka sendiri serta najis khinzir lain.

Di dalam buku yang ditulis oleh Profesor Biokimia dan pakar pemakanan Ahmad H.Sakr, beliau ada mengatakan bahawa khinzir juga mengikuti lembu di ladang untuk memakan najis haiwan tersebut kemudian khinzir ini diambil dagingnya lalu dipasarkan di pasar-pasar awam. Rev.Vories menyebut dalam bukunya The Hog “Lihatlah khinzir itu apabila ia berkubang dalam lumpur. Lihatlah di setiap kemuncak kemegahannya di atas baja dengan kepalanya dimasukkan ke dalam longgokan najis dan menunjukkan keseronokan dan kepuasan yang dinikmatinya dengan bunyi rengus yang berturut-turut (Ahmad H.Sakr 2005:21-22)

5.5 Bukti dari segi sejarah

Apabila diimbau sejarah terdahulu, bangsa Israel yang dimaklumi sebagai bangsa yang sentiasa melanggar perintah Allah SWT dan dilaknat oleh Allah SWT dengan sikap tersebut.Ada di kalangan mereka yang dungu dan penyembah berhala dan ada juga yang hilang matlamat hidup dan bertukar pemikiran mereka menjadi seperti kera dan cimpanzi. Mereka menjadi kotor , gelojoh dan mengikut cara hidup khinzir. Perkara ini telah disebutkan dalam Bible iaitu iblis dihantar menjadi khinzir:

“Apabila Nabi Isa telah sampai ke suatu tempat (Gergesenes) beliau telah berjumpa dengan dua manusia yang dirasuk syaitan, keluar dari kubur dalam keadaan sangat garang supaya tiada manusia dapat melalui kawasan tersebut tiba-tiba mereka berkata: “Apa yang harus kami lakukan dengan kamu Isa, adakah kamu datang untuk menyiksa kamu sebelum waktunya?” tidak jauh dari tempat tersebut terdapat sekumpulan khinzir sedang makan.Maka syaitan itu merayu kepada Isa lalu berkata: “Jika kamu menghalau kami, benarlah kami mengikut kumpulan khinzir itu” dan berkata Nabi Isa kepada mereka “pergilah”. Apabila mereka telah keluar dari tempat itu mereka menyertai kumpulan khinzir tersebut dan tiba-tiba seluruh kumpulan khinzir itu berlari dengan ganas ke arah tempat yang curam menghala ke laut dan binasakan di dalam air laut tersebut.” (Matthew. Bab 8:28-32)

Dalam surah al Maīdah pula Allah SWT telah berfirman:

                
        •     
Katakanlah: "Apakah akan Aku beritakan kepadamu tentang orang-orang yang lebih buruk pembalasannya dari (orang-orang fasik) itu disisi Allah, iaitu orang-orang yang dikutuki dan dimurkai Allah, di antara mereka (ada) yang dijadikan kera dan khinzir dan (orang yang) menyembah thaghut?". mereka itu lebih buruk tempatnya dan lebih tersesat dari jalan yang lurus (al-maidah 5:60)

Abdullah Yusuf Ali telah menyatakan terdapat kemungkinan kedua-duanya kera dan khinzir telah diqiaskan mereka telah memalsukan kenyataan yang telah disebutkan oleh Allah SWT akan menjadi penderhaka seperti kera dan telah kehidupan yang gelojoh dan berubah menjadi khinzir. Seseorang manusia boleh memikirkan tentang hikmah pengharaman khnizir kerana manusia akan turun kedudukannnya ke peringkat binatang disebabkan perbuatan tersebut.Oleh yang demikian tidak wajarlah kepada umat manusia memakan khnizir.
(Ahmad H.Sakr 2005:8-9)
PENUTUP

Dalam pembahasan secara ringkas di atas, penulis dapat menyimpulkan bahawa kejadian khinzir yang diharamkan oleh Allah SWT kepada umat menunjukkan bahawa Islamlah agama yang terbaik, syumul lagi benar di sisi Allah SWT . Ia amat menitik beratkan penganutnya agar sentiasa mendapat kesihatan yang baik, tidak memakan haiwan yang buruk perangainya yang dapat mempengaruhi seseorang yang memakannya. Allah SWT mengangkat martabat manusia ke peringkat yang terpuji bukannya hamba yang rendah martabatnya sepertmana Firman Allah dalam surah al-Tīn ayat 4 yang bermaksud: Sesungguhnya Kami telah menjadikan manusia dalam bentuk yang sebaik-baiknya.

Masalah yang berlaku dapat diselesaikan dengan fatwa yang dikeluarkan dan isu-isu yang timbul perlulah di selesaikan segera agar ia tidak menjadi barah kepada masyarakat muslim. Banyak hikmah yang diperolehi apabila kajian-kajian yang dilakukan mutaakhir ini menambahkan keimanan kepada umat Islam yang bahawa setiap yang diharamkan itu pastinya mempunyai hikmah yang tersembunyi walaupun Rasullullah SAW tidak menyebutkan secara saintifik semasa ayat Allah diturunkan, berkat kesungguhan saintis, sarjana, usaha penyelidikan yang dilakukan amat memberi impak yang positif kepada umat manusia. Usaha ini perlu di perluaskan lagi agar mereka dapat mendedahkan rahsia yang ditemui untuk kemaslahatan ummah. Kemudhoratan yang ada pada khinzir tidak dapat disangkalkan lagi.

Oleh itu, penulis menyeru kepada pembaca agar menitik beratkan perkara tersebut samada dalam pemakanan atau keperluan harian yang digunakan kerana ia memeberi kesan kepada ibadah, akhlak, kehidupan seseorang. Berilah makanan kepada tubuh dengan makanan yang baik kerana dengan makanan yang baik akan memudahkan seseorang melakukan perintah Allah SWT dan manusia akan terhindar dari pengaruh yang mazmūmah. Mudah-mudahan kertas kerja ini dapat memberi manfaat kepada semua pembaca.
Wa llahu a’lam



RUJUKAN

Al-Qur’an

Abd Rauf Dato’ Haji Hasan. 2005. Kamus. Shah Alam: Fajar bakti

Ahmad H.Sakr. 2005. Daging Babi (pork) sebab penolakannya. Kuala Lumpur: Saba Islamic media.

al-Kailani, 1996. al –Haqāiq Tabibah fī al-Islām. Dār kalām

al -Shacrāwi. T.th. Tafsīr al- Shacrāwi. Mesir: ahbar al- yaum

al-Māwardi, Abi Hasan Ăli bin Muhammad .th. al Nukat wa al-ūyūn Tafsir al-
Māwardi.Bil 1. Beirut: Dar al-Kūtūb al Īlmīah

al-Nasā’i, 1993 Sunan al Nasā’i (terj) Ustaz Bey Arifin Yunus Ali. Bil 4. Semarang: CV Asy
Syīfa’

al-Termīzī 1999. Sunan al-Termizi. Bil 3. Kaherah:Dār al Hadīs Sunān

Awang Hj Ismail .2001. Fatwa mufti kerajaan 1962-1969. Brunei: Jabatan Mufti
kerajaan.

Ensiklopedia Dunia. 2005. Kuala Lumpur: Dewan Bahasa Dan Pustaka.

Ensiklopedia Global. 2005. Kuala Lumpur: SmartGenie Corporation Sdn. Bhd.

HAMKA. Profesor Dr. Abdul Malik Abdul Karim. 1999. Tafsir Al- Azhar. Jil 1.
Singapura: Pustaka Nasional.

http://berita.perak.gov.my/mei05/muka5.htm[15/8/07]

http://suarajumaat.kym.edu.my[15/8/07]

Hussain Mat Din. 1999. Nyamuk, babi, dan Japanese encephalitis dalam Majalah

Agromedia. Bil 6. Kuala Lumpur: Institut Penyelidikan dan Kemajuan Pertanian

Malaysia (MARDI)

Ibn Kathīr. 2004.Tafsir Ibnu Kathīr .terj. Abdul Ghaffar . Jil 1. Bogor : Pustaka Imam
al-Syafie .
Kamal Ahmad, 1999. Pencemaran dari darat ancam sumber perikanan.Berita Harian .
11Feb dalam http://www1.moh.gov.my/fsq/warta/2005/wartaBM.pdf[15/8/07]
Kamus Dewan. 1997. Kuala Lumpur: Dewan Bahasa dan Pustaka.
Maszlee Malik .2005. Babi oh Babi : JAKIM dan badut bulan Mac 2005 dalam
http://archives.myfikrah.com[15/8/07]
Mohamed Yosri Mohamed Yong. 2007 dlm webmaster portal Hospital Bentong [3 Jun]

PANDUAN(Persatuan Pengguna Pulau Pinang) .2006. Halal haram. Pulau Pinang:
Persatuan Pulau Pinang.

Syiekh Atiyah Saqr. Ahsān al-Kalām fi al-Fatāwa wa al-ahkām - Jil 3. Kaherah : Dar
al-Ghad al-cArabi, dalam http://www.al-ahkam.net

2 comments:

Syafiq 007 said...

salam ziarah. bagus post ni. cume terlalu panjang, xsmpat nk baca sume. semoga thabat dlm b'dakwah.

nazmi said...

terima kasih untuk post ini.sangat membantu